“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah
(zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan
mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana
sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Q.S.
at-Taubah: 103)
Zakat1 adalah sumber bersih daripada hasil2 yang
diperolehi oleh golongan kaya tawaduk dan dikeluarkan untuk kemaslahatan umat
Islam yang dinyatakan dalam surah at-Taubah ayat 60. Pembayaran wajib
dizakatkan sebanyak 2.5 peratus daripada hasil bersih yang diperolehi. Allah
s.w.t. memberkati golongan pembayar zakat, pengurusannya3 dan
penerima zakat4. Dengan hasil zakat dapat digerakkan sistem pemerintah
dengan adil dan saksama serta membangunkan umat dengan gemilang5.
Firman Allah s.w.t.:
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk
orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan
orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak
memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan
pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.
(Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang
datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.” (Q.S. at-Taubah: 60)
Fakir ( papa kedana ): Orang Islam yang tidak memiliki sumber pendapatan atau harta
untuk dicagarkan bagi memenuhi keperluan hidup diri dan tanggungannya pada
ketika pernilaian dilakukan. Permasalah itu akan kekal selagi sumber-sumber
pendapatannya berterusan pada paras kepapaan daripada keperluan harian asasi
diri dan tanggungannya. Kehidupan tidak berubah-ubah. Fakir tegar.
Miskin ( miskin papa ): Orang
Islam yang mempunyai sumber pendapatan dan harta. Walaupun mempunyai sumber
pendapatan tetapi hanya memenuhi sebahagian keperluan harian asasi dirinya dan
tidak mencukupi untuk menampung keperluan tanggungannya. Secara umumnya tidak
mencukupi untuk keperluan diri dan tanggungannya.
Amil ( mengurus zakat ): Orang Islam yang bekerja mengurus tadbir sumber zakat sama
ada individu, organisasi atau negara meliputi kaedah pengutipan, agihan dan
menentukan peruntukan yang wajar diberikan kepada asnaf yang menerimanya kerana
mereka diamanahkan menjaga keperluan maslahat umat.
Mualaf ( dijinakkan hatinya untuk memahami Islam ): Orang Islam yang baru memeluk
Islam. Orang Islam yang terpinggir. Masyarakat yang terasing dari seruan Islam
dan dijinakkan hatinya. Kencenderungan hatinya diharap untuk Islam. Mereka yang
belum kukuh Islamnya. Mualaf di kategorikan kepada dua (2) kelompok:
i. Golongan Muslim:
a. Orang yang baru memeluk agama Islam.
b. Orang Islam yang terpinggir dan terasing daripada amalan/fahaman
Islam,
c. Ketua-ketua kumpulan Islam yang masih belum mantap imannya tetap
masih dan/atau berpengaruh dan/atau yang mempunyai hubungan baik dengan ketua ketua kumpulan bukan Islam yang sama taraf dengannya.
ii. Golongan Kafir:
a. Orang yang berkemungkinan menerima
Islam.
b. Kecenderungan tindakannya berpihak
kepada Islam.
c. Boleh dipujuk supaya tidak memusuhi
orang Islam.
Al-Riqab ( hamba ): Orang
Islam yang memohon suaka dimerdekakan daripada cengkaman perhambaan atau
penaklukan oleh orang kafir. Perhambaan meliputi: menjadi hamba secara fizikal
dan mental, terbelenggu oleh kejahilan, ditawan kerana ada nilai tukaran kepada
diri dari kelompok orang Islam, membebaskan golongan lemah dari cengkaman
orang-orang yang berkuasa, pembebasan dari perhambaan ekonomi, politik,
pengusiran, peperangan dan sebagainya. Contoh dalam negeri seperti along/ceti,
riba dan menggerakkan ekonomi rakyat.
Al-Gharimin ( berhutang ): Orang
Islam berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi kemaslahatan diri,
tanggungan atau masyarakat yang memerlukan tindakan segera. Contohnya: Penjamin
hutang, keperluan asasi dan kemaslahatan diri dan tanggungan.
Fisabilillah ( berjuang pada jalan Allah ): Orang Islam atau kelompok yang melibatkan diri dalam
kebajikan, dakwah, mendaulat, menegak dan mempertahan agama Islam. Mereka
tidak berganjak dalam menjulang keunggulan Islam diletakkan dipersada gemilang.
Contohnya: mujahid, pendakwah, organisasi dakwah, madrasah/pondok/sekolah.
Ibnussabil ( musafir terkandas ): Orang Islam dalam perjalanan bagi maksud-maksud
mengimarahkan syiar Islam, menziarahi tok-tok guru/pakar-pakar strategi,
berdakwah, berniaga, rakan taulan, keluarga, ziarah/lawatan dari mana-mana
negeri atau negara yang terputus sumber kewangannya.
Firman Allah s.w.t.:
“Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin
yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada
jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk
berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang
tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta.
Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing,
mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan
(ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya
Allah sentiasa Mengetahuinya.” (Q.S.
al-Baqarah: 273)
-----------------------------
Nota kaki:
1. Perlaksanaan kutipan dan pengagihan zakat ditentukan oleh
negeri-negeri umat Islam dengan tujuan untuk kemaslahatan masyarakat setempat
yang diluluskan oleh ‘ hukum syara' ’ menurut negeri-negeri. Sebagai contoh:
zakat dari negeri A hanya untuk orang negeri A sahaja dan kalau ada tempias pun
masih teragak-agak menyalurkan bantuan walaupun penduduk negeri umat Islam lain
menjerit batinnya mengharapkan simpati disebabkan oleh belenggu kemiskinan, kos
kehidupan meningkat, pengusiran dan seterusnya tetapi bagi negeri yang kaya
seperti Arab Saudi tiada batasan pengagihan zakatnya melimpahi seluruh penjuru
alam.
2. Di samping sumber zakat, hasil daripada sumber-sumber
lain juga wajar digunakan untuk memperkuat, memanfaat dan menggerakkan umat
supaya kekesalan tidak berlaku jika diperap tanpa aktiviti ekonomi domestik.
3. Amil wajar diberi imbuhan yang setimpal dengan
kerja-kerja mereka kerana pendapatan yang 'cukup makan' memberi ruang untuk
orang tengah memanipulasi keadaan yang akhirnya keikhlasan bertukar kepada
'peluang, ruang dan harapan'. Jika perlu diberi bonus 12 bulan gaji, berilah
kerana skim gaji yang sedia ada berada pada paras maksimum, masih lagi
membelenggu kehidupan sedangkan peluang boleh dicapai pada bila-bila masa
sahaja. Sekiranya telah diberi imbuhan yang selesa dan 'tabiat mengambil
peluang' berlaku juga maka mereka yang terlibat hendaklah dipecat serta merta
kerana kelayakannya sebagai amil terbatal.
4. Dalam pengagihan zakat wajar juga diadakan suatu
pernilaian semula kepada sistem agihan dan penerima supaya sumber zakat
yang ada dapat dimanfaatkan semaksimumnya. Dibangunkan golongan asnaf yang
berpotensi melalui latihan-latihan kemahiran intensif, penghasilan
produk-produk hiliran dimantapkan, kegiatan-kegiatan huluan dimanfaatkan,
melantik perunding-perunding berwibawa prihatin, merancang dan menentukan
keperluan makanan dengan penglibatan dalam negeri bagi meminimumkan kos
kehidupan asasi masyarakat. Yang akhirnya mengelak krisis makanan yang
membelenggu isi rumah berpendapatan rendah dan mengurangkan kadar inflasi
khususnya dalam barangan keperluan asasi.
5.
Sesungguhnya Allah s.w.t. merahmati golongan yang saling berkasih sayang kerana
Allah dan rasulNya

No comments:
Post a Comment